Manual Travel » December 20, 2014

Daily Archives: December 20, 2014

Greece destinasi bulan madu

 

 

Greece bukanlah negara yang tersenarai dalam jadual rancangan kembara saya. Peluang mengunjungi Greece buat julung kali baru-baru ini telah menambahkan kenangan dalam hidup saya sementelah Greece merupakan negara bersejarah yang penuh dengan perkembangan dan perdebatan tentang asal usul ilmu falsafah di dunia.

 

Saya menaiki penerbangan Qatar Airways kerana Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) tidak menyediakan penerbangan terus ke Athens, ibu negara Greece.

 

Penerbangan ini mengambil masa tujuh jam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk singgah (transit) di Doha dan meneruskan perjalanan lima jam setengah lagi untuk tiba di lapangan terbang Athens-Venezelos.

 

Greece terletak di sebelah selatan Eropah Barat dan menjadi lokasi pertemuan antara Benua Eropah, Asia dan Afrika. Greece mempunyai keluasan 131,000 kilometer (KM) persegi dan terdiri daripada lebih 6,000 buah pulau.

 

Greece menjadi tumpuan jutaan pelancong pada setiap tahun kerana keindahan dan keunikan pulaunya yang terletak dalam lingkaran Laut Ionian dan Aegean.

 

Pertemuan kedua-dua laut ini memberikan cuaca dan suhu yang nyaman kepada Greece pada sepanjang tahun walaupun pada musim panas.

 

Memang benar jika dikatakan Greece ialah negara yang menggamit pengunjung untuk berbulan madu!

 

Athens ialah ibu negara Greece dan merupakan bandar terbesar dengan jumlah penduduk sekitar tiga juta orang. Athens mendapat gelaran sebagai ibu negara bagi benua Eropah sejak tahun 1834. Athens bermula dengan sejarah sistem pemerintahan rakyat, diikuti dengan sistem monarki beraja dan seterusnya sistem demokrasi.

 

Pada masa ini, ekonomi Greece sedang dipulihkan akibat rasuah yang memuncak pada tahun 2012. Greece mula menggunakan mata wang Euro pada tahun 2002.

 

Bulan Ogos ialah musim panas di Greece tetapi hampir segenap pelosok bandar Athens dipenuhi pelancong. Athens mempunyai daya tarikannya yang tersendiri.

 

Kesan sejarah peninggalan Akropolis ataupun kota kubu yang terletak di tengah bandar Athens dapat dilihat dari semua arah di bandar itu. Kota ini terletak 156 meter tinggi di atas bukit yang berbatu dan dibina sejak tahun 448 SM.

 

Berada di Athens mengingatkan saya kepada zaman Greek yang melahirkan ramai pakar sejarah yang membahaskan falsafah ilmu seperti Socrates, Plato, Pyhtagoras dan Hipocrates.

 

Kawasan di kaki bukit Acropolis seperti Syntagma dan Lykavittos adalah kawasan yang sibuk dengan aktiviti membeli-belah seperti flea market yang terletak di kawasan kota Plaka dan deretan kedai mewah seperti Louis Vitton, Burberry, Mark & Spencer, Esprit, Rolex dan lain-lain.

 

Banyak kedai yang menjual gajet seperti peralatan telefon bimbit Samsung dan i-Phone.

 

Saya berkesempatan meneroka kawasan arkeologi Delfi yang terletak lebih kurang 180km di luar bandar Athens.

 

Peninggalan sejarah yang beribu tahun ini masih dipelihara dan merupakan kawasan warisan dunia. Delfi terletak di puncak bukit Parnassos.

 

Bukit-bukit kecil di sini dipenuhi dengan pokok zaitun yang menjadi tanaman utama di Greece selain kapas. Kita boleh membeli minyak zaitun yang asli dengan harga 3.5 euro per liter.

 

Cuaca yang agak panas memancarkan warna daun zaitun yang sangat mempesonakan iaitu hijau keperakan di seluruh bandar Athens.

 

Teringat saya, zaitun ialah tanaman syurga. Selain itu, Greece ialah negara pengeksport kain dan kebanyakan tanaman pada musim panas ialah kapas.

 

Antara kain keluaran Greece yang terkenal ialah kain linen. Greece juga terkenal dengan pengeluaran kasut sandal daripada kulit.

 

Pada hari yang berikutnya, saya dan rombongan menaiki kapal layar (cruise) yang menelusuri tiga buah pulau yang sangat cantik, iaitu Poros, Hydra dan Aegina yang terletak di Selat Saronic.

 

Pelbagai daya tarikan yang ada di pulau ini. Pengunjung boleh menikmati makanan tradisi Greek, iaitu salad buah-buahan dan beraneka roti dan pastri. Selain itu banyak kedai yang menjual cenderamata.

 

Bagi pengunjung yang suka berenang, ketiga-tiga buah pulau ini sesuai untuk aktiviti tersebut. Di sepanjang perjalanan ini, saya tertarik dengan air laut yang sangat bersih yang terpancar dalam pelbagai warna.

 

Perubahan warna air laut yang biru kehijauan, biru, biru laut dan biru kehitaman. Sepanjang berada dalam pelayaran ini, pengunjung terasa diusap angin yang sejuk dan dingin, amat sesuai bagi pasangan yang berbulan madu.

 

Bandar Athens selamat bagi pengunjung kerana kita boleh mendapatkan bantuan polis bandar raya di hampir semua tempat.

 

Saya dapat melihat banyak anjing jenis Belgian diletakkan di tempat tumpuan pelancong seperti di dataran Syntagma, Plaka dan Monastiraki.

 

Peminat sejarah tentunya amat berpuas hati kerana terdapat lima buah muzium yang menyimpan khazanah serta artifak peninggalan sejarah Greek.

 

Muzium yang terkenal ialah National Archaeological Muzium dan Muzium Akropolis yang terletak di Athens. Bandar Athens juga amat terkenal dengan tarikan lukisan grafiti yang pelbagai rupa, warna dan bentuk.

 

Kunjungan ke Greece ini memberikan suntikan baru kepada saya kerana perkembangan tamadun ilmu selari dengan pembangunan komunitinya.

 

Hampir semua tempat yang saya lawati di Athens adalah bersih serta melambangkan erti pembangunan yang perlu diterajui oleh rakyatnya.

 

Kehadiran empat musim, iaitu sejuk, panas, dingin dan gugur mengajar penghuninya menghargai kurniaan semula jadi dengan menjadikannya sebagai tarikan, hampir 16 juta pengunjung seluruh dunia ke Greece sepanjang tahun.

 

Greece bukan sahaja destinasi bulan madu bahkan lebih daripada itu! Parakalo.


 See more at: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/pelancongan/greece-bukan-hanya-destinasi-bulan-madu-1.16874#sthash.QYoMoP51.dpuf

Published by: